Article by Brian Yap
Orang muda di Malaysia sering dikatakan hanya mementingkan diri. Apabila isu-isu orang muda dibentengkan sama ada dalam media massa ataupun oleh ahli politik, selalunya berita negatif yang dibincangkan. Sama ada gejala Mat Rempit, muzik “black metal” ataupun seks bebas yang menjadi topik hangat, biasanya isu-isu orang muda dilihat dari perspektif orang tua yang tidak memahami sepenuhnya budaya orang muda hari ini.
Inilah sebab Persidangan Perundingan Belia Kebangsaan (NYCC) yang diadakan pada 2hb Disember yang lepas merupakan satu-satunya program yang penting. Orang muda Malaysia dari pelbagai kaum, agama dan latarbelakang telah berkumpul untuk membincangkan isu-isu yang penting kepada kami. Lebih kurang 100 peserta berkongsi pandangan mereka mengenai bagaimana golongan muda boleh bekerjasama dan terlibat dengan lebih baik sebelum dan semasa Pilihanraya Umum akan datang.
Walaupun telah menjadi kebiasaan untuk orang muda diberi nasihat, arahan dan matlamat oleh mereka yang berkuasa, kali ini orang muda sendiri yang telah membincang dan menyuarakan pendapat mereka tentang isu dan polisi negara. Kebanyakkan hadirin terdiri daripada pelajar. Ada dari universiti atau kolej swasta, ada yang datang dari institut pengajian tinggi awam. Kesemua terdiri dari orang Malaysia yang mengcintai negara mereka.
Rakyat Malaysia semakin menyedari apa yang berlaku di negara mereka. Peningkatan kesedaran ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba ataupun selepas masa yang singkat. Ada yang mungkin berpendapat bahawa semangat reformasi dalam orang muda generasi ini bermula sepuluh tahun dulu, apabila bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim dipecat dan ditahan. Mungkin benar, tetapi semangat ini telah lama membara di kalangan orang Malaysia yang patriotik.
Penghindaran kepada orang muda untuk melibatkan diri dalam halatuju negara mereka sendiri adalah banyak dan diketahui ramai. Undang-undang seperti AUKU sering digunakan sebagai contoh. Dalam persidangan pertama NYCC ini, AUKU banyak menerima kritikkan oleh peserta.
Tapi kehadiran peserta-peserta tersebut membuktikan adanya orang muda yang tidak akan dikongkong oleh AUKU lagi. Orang muda tidak boleh menggunakan AUKU sebagai alasan lagi untuk mengelakkan diri daripada melibatkan diri dalam isu-isu yang penting.
Selain daripada itu, peserta-peserta NYCC telah menggunakan program sehari untuk berkongsi pendapat dan pengalaman berkenaan dengan topik-topik seperti pendidikan, politik, alam sekitar, ekonomi dan lain-lain.
Apa yang amat menggalakkan adalah kepelbagaian peserta pada perundingan tersebut, dan kesediaan mereka untuk menyuarakan pendapat dan idea dan juga mendengar perspektif peserta yang lain. Golongan muda di negara kita datang dari pelbagai kaum, agama, bahasa, tempat duduk, tahap pendidikan, taraf hidup dan lain-lain. Satu masalah besar yang dialami oleh negara kita adalah kekurangan dialog di antara orang Malaysia yang berlainan, dan NYCC ini merupakan langkah permulaan untuk mengubah keadaan hari ini.
“Tujuan acara ini untuk menggalakan orang muda berbincang dan bertukar pandangan tetang bangaimana golongan muda boleh menggunakan pengetahuan dan aktiviti mereka supaya Negara lebih demokratik, bebas dan mendapat keadilan sosial,” penganjur Lee Khai Loon menulis dalam surat jemputan beliau.
Sebenarnya, NYCC ini tidaklah istimewa sangat. Walaubagaimanapun, memandang kekurangan forum untuk orang muda berbincang dan berkongsi pendapat tentang masa depan negara mereka sendiri, perundingan tersebut merupakan cahaya dalam era yang gelap di Malaysia. Terlalu banyak isu-isu yang membimbangkan tidak dibincang secara terbuka dan bertanggungjawab. Anak muda yang akan mewarisi Malaysia, jadi generasi kami yang perlu mencari penyelesaian.
Pilihanraya umum yang kian hampir merupakan pilihanraya yang amat penting. NYCC ini bertujuan untuk memulakan proses pembentukan agenda nasional golongan muda dan merancang tindakan strategi untuk menghadapi pilihanraya ini.
Penganjur NYCC ini tidaklah percaya bahawa program satu hari ini akan mengubah keadaan secara menyeluruh. Pendidikan pasti akan terus dipolitikkan. Kebebasan bersuara sudah tentu dikongkong lagi. AUKU tidak mungkin dimansuhkan sampai lama lagi. Pendapat 100 lebih peserta tidaklah akan mengubah keputusan pilihanraya yang akan datang.
Walaubagaimanapun, perundingan NYCC yang baru diadakan ini bukanlah bertujuan menjadi titik penyelesaian dalam agenda perubahan orang muda. Ia hanya merupakan titik permulaan.
